Masalah di sekitar hukum ini ialah:
a) Haram menyentuh sesuatu yang haram dilihat sebagaimana yang tercatat di dalam masalah-masalah yang lalu, kerana menyentuh adalah lebih mendatangkan kenikmatan dan kelazatan lagi jika dibandingkan dengan melihat.
b) Haram bagi dua orang lelaki atau dua orang perempuan berbaring di dalam satu kain atau selimut dalam keadaan berbogel dan di atas satu tilam.
-Ibubapa atau penjaga wajib memisahkan di antara kanak-kanak lelaki atau perempuan dari tempat tidur
ibubapanya. Begitu juga antara adik beradik lelaki dan perempuan.
c) Haram memicit atau mengurut peha lelaki lain tanpa lapik. Jika berlapik, maka diharuskan tetapi dengan syarat tidak dikhuatirkan fitnah dan tidak dengan syahwat.
d) Haram menyentuh mahramnya, begitu juga sesama lelaki atau sesama perempuan sekalipun pada anggota yang harus dilihat seperti pada kaki atau perutnya, termasuk mengusapnya kecuali kerana hajat atau dilakukan kerana timbul dari perasaaan kasih sayang serta bebas dari fitnah dan syahwat.
e) Haram menyentuh muka perempuan yang ajnabi sekalipun diharuskan melihatnya kerana hendak meminang.
f) Hukum berjabat tangan.
i- Seorang lelaki diharamkan berjabat tangan dengan perempuan yang ajnabi. Dalil yang mendasari hukum ini ialah:
Dalil pertama:
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a. mengenai bai'ah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap beberapa orang perempuan, Aisyah r.a. berkata:
" Demi Allah, tangan baginda tidak menyentuh seorang perempuan pun dalam pembai'atan itu. Baginda hanya membai'at mereka dengan perkataannya: "Benar-benar telah aku bai'at kamu atas hal itu." (Riwayat Bukhari)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari berkata:
"Maksud ucapan Rasulullah s.a.w.:
"Benar-benar telah bai'at kamu dengan ucapan."
adalah ucapan tanpa berjabat tangan sepertimana yang biasa terjadi, di mana lelaki berjabat tangan sewaktu bai'ah dijalankan.
Dalil kedua:
Dari Abdullah bin Amr bin al-As r.a. berkata:
"Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan tangan dengan perempuan dalam pembai'atan." (Riwayat Imam Ahmad)
Sunat berjabat tangan antara sesama lelaki atau sesama perempuan ketika bertemu.
Makruh berjabat tangan dengan orang yang mempunyai penyakit kusta.
Haram hukumnya berjabat tangan dengan amrad (lelaki muda yang belum tumbuh misai atau bulu) dengan disertai oleh syahwat.
g) Makruh memeluk dan mengucup kepala sesama lelaki atau sesama perempuan kecuali terhadap orang yang baru sampai dari musafir atau orang yang lama tidak ditemui. Bahkan perkara ini sunat dilakukan.
h) Sunat mengucup tangan orang soleh, warak, berilmu agama atau sebagainya yang dihormati dan dimuliakan dari segi agamanya. Manakala makruh hukumnya melakukan perkara tersebut terhadap orang yang dihormati dari sudut keduniaannya, seperti orang yang berpangkat, orang kaya atau sebagainya.
i) Diharuskan mengucup mayat orang soleh.
j) Sunat mengucup kanak-kanak sekalipun anak orang lain kerana kasih sayang.
k) Sunat berdiri untuk orang yang mempunyai kelebihan di dalam bidang ilmu agama kerana menghormatinya, bukan kerana riyak, membesarkan atau mengagungkannya.
l) Makruh membongkokkan badan terhadap sesiapa sahaja.
No comments:
Post a Comment